Isnin, 14 Oktober 2013

TIPS BEKERJA SAMBIL BERIBADAH




Ramai yang leka bekerja sehingga lupa akan tuntutan terhadap agama. Ada yang terlalu mengejar kehendak pelanggan hinggakan terlepas untuk menunaikan solat fardhu hingga tanpa disedari kita sudah menjadi hamba duit ataupun hamba kepada dunia.

Orang cerdik pandai ada menyebut letakkan dunia di tangan jangan di hati. Ini kerana apabila dunia berada di tangan ia senang untuk dikendalikan tetapi apabila letakkan dunia di hati ia akan dicintai dan dunia yang akan mengawal kehidupan manusia.

Jadi tidak mustahillah kita akan bekerja bermati-matian hingga lupa mati boleh datang bila-bila masa. Jadi di sini ada beberapa tip untuk kita bekerja tanpa meninggalkan tuntutan agama.

1. Memasang niat yang betul

         Pasangkan niat keluar bekerja mencari rezeki untuk diri sendiri, keluarga dan juga keluar bekerja kerana Allah s.w.t. Jika memasang niat yang betul, hati akan menjadi tenang sepanjang melakukan kerja dan kerja-kerja yang dilakukan dapat diselesaikan dengan baik tanpa ada rasa tekanan ataupun dengan fikiran yang berserabut.
         Alangkah ruginya sekiranya tidak diniatkan di hati keluar bekerja kerana Allah kerana seharian bekerja hanyalah sia-sia. Kerja itu satu ibadah, jadi jika dipasangkan niat yang betul supaya mudah mendapat pahala hanya kerana keluar bekerja.

2. Amanah ketika bekerja

         Amanah juga merangkumi jujur terhadap waktu bekerja. Seandainya anda sering terdedah dengan waktu kerja di luar elakkan 'mencuri' waktu itu untuk kepentingan peribadi. Contohnya selesai berjumpa pelanggan dan sebagainya gunakan waktu itu untuk melepak bersama rakan-rakan untuk seketika. Itu juga dikira tidah amanah.
         Pekerja yang tidak amanah dalam waktu bekerjanya akan dihimpit dengan rezeki yang tidak berkat. Di sinilah berlakunya masalah kewangan walaupun gaji atau upah yang diterima tiap-tiap bulan agak lumayan tetapi masih menghadapi masalah kewangan.
         Oleh itu, bekerjalah bersungguh-sungguh dan penuh amanah agar kerja itu memberi manfaat kepada orang lain. Ini kerana orang yang baik adalah orang yang sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.

3. Sentiasa berzikir dalam hati

         Ketika tangan sibuk mengetuk papan kekunci komputer menyiapkan kerja, tidak salah andai hati dan lidah dibasahkan dengan zikir kepada Allah s.w.t. Perkara ini tidak susah untuk dilakukan tetapi ia perlu dibiasakan.
         Apabila sudah biasa dan sebati ia bukanlah satu perkara yang sukar untuk dilakukan. Amalan solat sunat Dhuha juga amatlah dituntut ketika bekerja. Ini adalah salah satu cara untuk memohon agar rezeki yang diberikan itu rezeki yang baik, halal dan menenangkan.

4. Jangan lengahkan solat fardhu

         Solat fardhu adalah tuntutan kepada setiap orang yang beragama islam dan ia juga adalah tiang agama. Dalam kesibukan bekerja ada yang terlepas waktu menunaikan solat dan dek kerana kesibukan masa solat berlalu begitu sahaja.
         Jadi kita tidak boleh menunggu hingga selesai semua kerja untuk menunaikan solat kerana kerja itu tidak pernah akan selesai. Jadi kita perlu sediakan sekian-sekian waktu adalah untuk menunaikan solat.
         Jangan hanya fikirkan untuk melangsaikan tanggungjawab kepada majikan kerana Allah s.w.t adalah majikan kepada seluruh umat manusia.

5. Gunakan gaji atau upah ke jalan yang betul

         Belanjakanlah gaji atau upah yang diterima dengan cara yang sebaik mungkin. Manfaatkan pendapatan iut untuk menyara keluarga dan diri sendiri tanpa membazir kepada perkara-perkara yang tidak berfaedah.
         Salurkan sedikit gaji itu untuk ibu bapa dan membayar zakat untuk mendapat lebih keberkatan dan sentiasa berasa tenang dengan wang yang ada.



Tiada ulasan: