Apabila disebut dosa dan pahala, pasti kita semua maklum
mengenainya. Sifirnya mudah, buat baik dapat pahala, buat jahat dapat dosa.
Namun ada juga yang begitu skeptikal dengan dosa dan pahala, maklumlah perkara
yang tidak nampak. Atau tidak terasa apa-apa dengan dosa dan pahala disebabkan
dek terlindungnya urusan tersebut dari pandangan mata manusia. Perkara
sam’iyyatlah katakan. Alasan mudah, dosa dan pahala bukan manusia yang
tentukan!
Memang benar, dosa pahala yang natijahnya sama ada neraka
atau syurga, bukan manusia penentunya. Manusia masuk syurga bukan kerana
amalannya, tetapi kerana rahmat Allah. Benar sekali. Walau bagaimanapun, dalam
kehidupan pasti ada keseimbangannya. Malam ada siangnya, hidup ada matinya,
syurga ada lawannya iaitu neraka. Begitulah juga ada perkara baik dan buruk
yang menatijahkan pahala atau dosa.
Contoh yang mudah, api sebagaimana yang kita tahu,
sifatnya adalah panas dan membakar. Namun ada pengecualiannya, seperti dalam
kisah Nabi Ibrahim yang terselamat sewaktu dibakar oleh Raja Namrud. Sifat api
yang panas dan membakar itu, tidak terjadi lantaran diarahkan oleh Allah s.w.t
agar ia menjadi sejuk, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Anbiya ayat 69,
yang bermaksud, “Perintah kami (Tuhan): Wahai api, sejuklah kamu dan selamatkan
ke atas Ibrahim”. Apapun, fitrah api itu masih kekal panas dan membakar
sehinggalah ke hari kiamat.
Begitulah juga dengan dosa dan pahala. Ia perkara yang
jelas. Melakukan perkara yang haram dan dibenci Allah itu akan menatijahkan
dosa. Melakukan perkara yang disukai Allah pula akan dihadiahi dengan pahala.
Pahala membawa ke syurga, dosa membawa ke neraka. Namun ada pengecualiannya,
sebab kita milik Allah dan walaupun berdosa, Allah memberikan peluang untuk
hamba-Nya bertaubat selagi nyawa belum sampai di halkum.
Sesungguhnya kehidupan manusia di atas muka bumi ini
tidak akan dapat lari daripada dua perkara tersebut. Segala tindak tanduk kita
di dunia ini akan memanifestasikan sama ada pahala atau dosa, sesuai dengan
tujuan manusia itu dihidupkan iaitu untuk beribadah kepada PenciptaNya. “Tidak
Aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadat kepadaKu.”
(Az-Zaariyat:56)
Namun demikian, kehidupan di akhir zaman ini menyaksikan
nilai dosa dan pahala seolah-olah menjadi perkara yang dikesampingkan. Perkara
dosa dilakukan secara berleluasa tanpa timbul perasaan takut di hati. Sebagai
contoh, perbuatan mengumpat telah dimaklumi sebagai satu dosa, namun ia menjadi
perkara lumrah. Begitu juga dengan fitnah, zina, rasuah dan bermacam-macam
lagi.
Tidak terkecuali pergaulan bebas lelaki wanita. Setiap
kali tiba tahun baru, anak-anak muda akan bebas keluar berpasang-pasangan
(bukan mahram pastinya) meraikan sambutan malam tahun baru. Berpesta dari
tengah malam hingga ke pagi. Berkumpul seawal sebelum maghrib dan pulang
selepas matahari terbit. Solat entah ke mana. Malah menurut pekerja-pekerja
yang membersihkan kawasan-kawasan lepak anak-anak muda ini, kondom-kondom yang
telah digunakan bersepah-sepah ditemui mereka sewaktu melakukan kerja
pembersihan. Botol-botol minuman keras tidak ketinggalan ditemui. Yang nyata,
mereka yang terlibat adalah anak-anak muda Islam.
Mengapa perkara dosa begitu senang diterima? Adakah sebab
ia menjadi perkara lazim yang berlaku dalam masyarakat dan seolah-olah diterima
pakai, maka ia tidak lagi dianggap sebagai dosa? Atau kita sudah lagi tidak
kenal yang mana dikatakan dosa dan pahala?
Nabi Muhamad s.a.w pernah bersabda sebagaimana yang
dinyatakan oleh Al-Nawwas bin Sam’an, “Kebaikan adalah peribadi yang terpuji,
dosa adalah apa yang bergelut dalam hati sedangkan saudara tidak mahu orang
lain mengetahuinya.”
Manakala Wabisah bin Ma’bad pula menyatakan: Saya pernah
datang bertemu dengan Rasulullah. Kemudian Baginda bertanya kepada saya,
“Saudara datang ini, hendak bertanya tentang kebaikankah?” Saya menjawab,
“Benar”. Lantas baginda berkata, “Tanyalah hati saudara. Sebenarnya kebaikan
itu adalah perkara yang apabila saudara melakukannya, jiwa dan hati saudara
akan berasa tenang. Walaupun saudara bertanya berkenaan hal itu kepada orang
lain dan mereka memberikan pendapat yang berbeza dengan perkara yang saudara
rasakan itu. Manakala kejahatan dan dosa itu pula adalah perkara yang apabila
saudara lakukan, jiwa saudara tidak tenang dan saudara berasa teragak-agak dan
risau di dalam hati. Walaupun saudara bertanya berkenaan hal itu kepada orang
lain dan mereka memberikan pendapat yang berbeza dengan apa yang saudara
rasakan itu.”
Amatlah malang, kalau kita tidak dapat lagi merasakan
getaran kerisauan dalam hati sebagaimana yang dinyatakan oleh baginda s.a.w
kerana ia adalah petanda bahawa jiwa kita sebenarnya sudah mati. Titik-titik
hitam telah menguasai hati sehingga ia tidak lagi berfungsi dengan baik.
Justeru bagaimanakah empunya diri mahu bertanya kepada hati yang menjadi
penggerak sama ada ke arah kebaikan atau kejahatan, jika hati sudah tidak lagi
boleh memberi penilaian kudusnya?
“Setiap anak Adam berbuat kesalahan dan sebaik-baik orang
bersalah adalah orang yang bertaubat.” (Hadith riwayat Imam Tirmidzi)
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang banyak
dosa, tapi banyak bertaubat.”(Hadith riwayat Imam Ahmad)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan