Isnin, 14 Januari 2013

BAB SOLAT : TALIAN LANGSUNG HAMBA KEPADA PENCIPTANYA


Solat merupakan salah satu ibadah yang dilakukan bagi setiap orang Islam yang dikerjakan setelah baligh mahupun bagi orang yang baru sahaja memeluk Islam serta bersyahadah.Ini kerana,ianya adalah merupakan rukun Islam yang kedua selepas syahadah.Pada entri sebelumnya saya telah berkongsi kepada anda mengenai bab Wudhuk.Hari ini masuk pada bab solat dan perisian yang terkandung di dalam solat itu bagi tatapan umat Islam khususnya yang menziarahi blog saya ini.Semoga ianya menjadi panduan serta amalan dalam memantapkan lagi ibadah wajib ini dimana ianya juga merupakan ibadah pertama  yang akan dihisab  dihari akhirat kelak.

 PENGERTIAN SOLAT 

BAHASA

- Doa atau permohonan segala kebaikan

SYARAK

-Perbuatan atau perkataan yang dimulai dengan takbiratul Ihram dan diakhiri dengan memberi salam berpandukan dengan rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu.
Perkataan-perkataan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun qawliyy.
- Manakala perbuatan-perbuatan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun
   fi‘liyy dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan dikenali
   sebagai rukun qalbiyy.
* PERKATAAN YANG MERUPAKAN RUKUN DALAM SOLAT
- Takbiratulihram
- Membaca al-Fatihah ( termasuk Basmallah )
- Tasyahud akhir
- Selawat ke atas Nabi
- Salam yang pertama  
* PERBUATAN YANG MERUPAKAN RUKUN DALAM SOLAT
- Berdiri tegak jika mampu
- Rukuk
- Iktidal
- Sujud
- Duduk antara dua sujud
- Duduk pada rakaat akhir
- Tertib    
* PEKERJAAN HATI YANG MERUPAKAN RUKUN DALAM SOLAT
-Niat,iaitu perbuatan hati  


DALIL KEWAJIBAN SOLAT 

* AL-QURAN

Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 103

Maksud : Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya  

Firman ALLAH SWT di dalam surah al-Hajj ayat 78 

Maksud : Oleh itu,dirikanlah solat,dan tunaikanlah zakat,serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah.Dialah Pelindung kamu.Maka Allah yang demikian sifat-sifatNya Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi Pertolongan. 

* AL-HADIS

Rasulullah SAW sendiri menceritakan kefardhuan solat lima waktu yang diberikan kepada Baginda sebagaimana yang dilaporkan Anas bin Malik r.a katanya :

Maksud : Diwajibkan ke atas Nabi SAW pada malam israk solat 5 waktu.Setelah itu diseru,'Wahai Muhammad dia tidak tidak mengubah arahan disisiKu,bagimu pada soat 5 waktu ini pahala 50 waktu
( Riwayat At-Tirmizi)
 
 Sabda Rasulullah SAW :

Maksud : Islam itu dibina di atas 5 perkara iaitu syahadah bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah,Muhammad itu pesuruh Allah,mendirikan solat,menunaikan zakat,haji dan puasa Ramadhan.
( Riwayat Al-Bukhari)  


SEJARAH PENSYARIATAN SOLAT 

1. BAHAGIAN PERTAMA

Pensyariatan Solat

Solat merupakan ibadah yang menghubungkan seseorang hamba dengan Allah S.W.T., membuktikan ketaatan, kepatuhan serta sentiasa mengingatiNya. Solat juga mendidik jiwa seseorang memahami hakikat ketaqwaan, ketenangan, kesabaran, tawakkal, jihad dan Allah S.W.T. sahajalah tempat bergantung dalam segala urusan kehidupan. Solat adalah amalan yang asal dalam agama.

Oleh sebab itu, ia merupakan sunnah yang mengiringi risalah-risalah dari langit. Allah S.W.T. mentaklifkan ibadah solat kepada mereka yang dipilih memikul amanah nubuwwah, kerana ibadah solat ini menghubungkan manusia secara terus dengan Allah S.W.T. Ibadah solat juga menjadi bekalan kekuatan rohani dalam melaksanakan amanah yang besar ini.

Taklifan solat ini bukan sekadar untuk diri mereka sahaja, malah Allah S.W.T. mewasiatkan agar disampaikan kepada anak cucu dan juga kepada generasi seterusnya. Nabi Ibrahim a.s. telah berdoa kepada Allah S.W.T. supaya beliau dan anak cucunya beriltizam mengerjakan solat. Permohonan itu telah dirakamkan di dalam firman Allah S.W.T. yang bermasud : “Ya Tuhan, Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang mendirikan solat. Ya Tuhan Kami, Perkenankanlah doaku”. (surah Ibrahim ayat 40).

Solat dalam Syariat Nabi Terdahulu

Allah S.W.T. mengutuskan para Nabi bermula dari Nabi Adam a.s. sehingga ke Nabi Muhammad s.a.w. membawa misi menegakan konsep tauhid dan ubudiyyah kepada Allah S.W.T. Tuhan yang Maha Esa. Sementara syariat pula dari Nabi ke Nabi mengikut reality persekitaran kaum masing-masing. Namun begitu, ibadah solat telah disyariatkan dalam setiap risalah para nabi, semenjak dari dahulu sehingga zaman ini. Ibadah solah merupakan kefardhuan amali pertama dalam setiap risalah, untuk membenarkan akidah keimanan dan merealisasikan perngertian pengabdian kepada Allah S.W.T..

Terdapat banyak ayat Al-Quran dan Al-Sunnah yang menerangkan mengenai pensyariatan ibaadah solat dalam syariat para nabi terdahulu. Antaranya ialah, firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Kami telah perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: Bersihkanlah rumahku untuk orang-orang tawaf, orang (mereka) yang iktiqaf, (mereka) yang ruku’ dan yang sujud”. (surah al-Baqarah ayat 125)

Firman Allah S.W.T lagi yang membawa maksud : “Kami telah menjadikan mereka itu (Ishaq dan Ya’kub) sebagai pemimpin yang memberi petunjuk kepada perintah Kami dan telah kami wahyukan kepada mereka yang mengerjakan kebajikan, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan hanya kepada Kamilah mereka selalu mengabdikan diri”. (surah al-Anbiya’ ayat 73)

Lagi firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Ceritalah wahai Muhammad kepada mereka, kisah Ismail yang tersebut di dalam Al-Quran, sesungguhnya dia adalah rasul dan nabi. Dia menyuruh para ahlinya mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan dia adalah seorang yang diredhai disisi TuhanNya”. (surah Maryam ayat 54 – 55)

Abdullah b Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

“Jibril mengimamkan aku (Muhammad) solat disisi Kaabah sebanyak 2 kali. Dia (Jibril) mendirikan solat Zohor bersamaku pada hari pertama semasa matahari gelincir. Dia mendirikan solat Asar bersamaku ketika bayang sesuatu menyamainya. Dia mendirikan solat Maghrib bersamaku ketika orang berpuasa membuka puasanya. Dia mendirikan solat Isya’ bersamaku ketika syafaq ( mega merah) hilang. Dia mendirikan solat Subuh bersamaku ketika diharamkan makan dan minum kepada orang berpuasa. Kemudian pada hari keduanya pula, Dia (Jibril) mendirikan solat Zohor bersama aku ketika bayang sesuatu objek menyamai objek asalnya. Dia mengerjakan solat Asar bersamaku ketika bayang sesuatu objek dua kali ganda besarnya dari objek asal. Dia mendirikan solat Maghrib bersamaku semasa orang berbuka puasa. Dia mendirikan solat Isya’ bersamaku ketika malam berlalu satu pertiga. Dia mendirikan Subuh ketika bumi sudah cerah. Kemudian (Jibril) berpaling kepada aku sambil berkata “Wahai Muhammad! Waktu solat di antara kedua-dua waktu ini. Waktu ini juga merupakan waktu solat para nabi terdahulu”.

Dan banyak lagi ayat yang mensyariat solat ini dilaksanakan. Kesimpulannya, kenyataan dalil-dalil dari Al-Quran dan Al-Sunnah membuktikan bahawa solat adalah ibadah asal yang disyariatkan dalam risalah nabi terdahulu.

2. BAHAGIAN KEDUA

Seperti yang telah dibincangkan pada bahagian pertama berhubung pensyariatan solat, membuktikan bahawa ibadah solat ini telah disyariatkan dalam risalah nabi terdahulu. Namun cara, bilangan rakaat dan waktu-waktu dalam syariat para nabi itu merupakan persoalan yang masih kabur dan merupakan persoalan yang menarik untuk dikaji.

PERTAMA : WAKTU SOLAT

Berhubung waktu solat, terdapat hadis yang menjelaskan bahawa Malaikat Jibril a.s. mengajar kepada Rasulullah s.a.w. waktu-waktu solat, sebagaimana yang dijelaskan pada bahagian pertama. Diakhir hadis tersebut dinyatakan bahawa Malaikat Jibril a.s. menjelaskan kepada Rasulullah s.a.w. bahwa waktu-waktu itulah juga yang menjadi waktu-waktu solat bagi para nabi terdahulu. Namun begitu, tidak dijelaskan samada nabi terdahulu juga menunaikan solat lima waktu seperti yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.. Namun begitu terdapat beberapa catatan yang menyentuh perkara tersebut. Diantaranya al-Imam Al-Ramli ada menyebut di dalam kitab Nihayah al-Muhtaj katanya: “Solat subuh untuk nabi Adam, solat Zohor untuk nabi Daud, solat asar untuk nabi Sulaiman, solat Maghrib untuk nabi Ya’kub dan solat Isya’ untuk nabi Yunus.”

Dalam catatan yang lain pula, al-Thahawi meriwayatkan, al-Kasani ada menyebut bahawa dia mendengar Abu Abdul Rahman Abdullah b Muhammad berkata: “Sesungguhnya ketika nabi Adam bertaubat daripada keaibannya ketika fajar, Beliau mendirikan solat 2 rakaat. Lalu sempena dari tu dijadikan solat Subuh. Dikorbankan Ismail ketika Zohor, maka Nabi Ibrahim mendirikan solat 4 rakaat. Maka dari sini dijadikan solat Zohor. Ketika ‘Uzaiz a.s. dibangkitkan, dikatakan kepadanya ‘berapa lamakah engkau tinggal?’ Beliau menjawab: ‘Satu hari’, lalu beliau melihat matahari, beliau berkata lagi: ‘atau setengah hari’, beliau pun mengerjakan solat 4 rakaat dan sempena itu, dijadikan solat Asar. Dikatakan kepada Aziz a.s. dan Daud a.s. kedua-dua mereka diampunkan ketika Maghrib. Beliau (Daud) berdiri mengerjakan solat 4 rakaat, beliau memanjangkan ketika dalam rakaat ketiga. Lalu dijadikan solat Maghrib 3 rakaat. Orang pertama yang mendirikan solat Isya’ (waktu) yang akhir ialah Nabi Muhammad s.a.w.

Catatan di atas menerangkan waktu solat tertentu kepada para nabi tertentu dan diwaktu-waktu tertentu. Rasulullah s.a.w. merupakan orang pertama mengerjakan solat Isya’ adalah sahih. Ini dikuatkan dengan riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Abu Daud daripada Muaz, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kamu lambat solat ini (Isya’) sesungguhnya kamu diberi kelebihan diantara seluruh umat dengannya. Umat sebelum kamu belum mendirikan solat ini”.

Disamping solat khusus tersebut, nabi terdahulu juga sering mendirikan solat sebagai mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.. Terutamanya mereka mendirikan solat ketika dalam kesusahan, kesukaran dan berhadapan dengan musuh.

KEDUA : CARA, BENTUK DAN RAKAAT SOLAT

Tiada catatan khusus menerangkan cara, bentuk dan bilangan rakaat dinyatakan sepertimana solat yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Bagaimanapun di dalam surah Al-Baqarah ayat 125 ada menerangkan bahwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mendirikan solat dengan melakukan perbuatan rukuk dan sujud.

Begitu juga di dalam surah Al-Imran ayat 43 menjelaskan Maryam mendirikan solat dengan melakukan rukuk dan sujud. Disamping rukuk dan sujud, Nabi Ibrahim juga berdiri ketika menunaikan solat sebagaimana dijelaskan di dalam kisahnya dengan Firaun.

Kesimpulannya, berdiri, rukuk dan sujud adalah diantara perbuatan solat para nabi terdahulu. Walaupun catatan didapati didalam kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Maryam, namun boleh diyakini bahawa beginilah cara solat para nabi terdahulu.

Berhubung arah kiblat para nabi terdahulu mendirikan solat, terdapat sesetengah riwayat mengatakan mereka semua mengadap kearah Kaabah. Dalam sesetengah riwayat yang lain pula mengatakan Nabi Musa a.s. mengerjakan solat dengan mengadap kearah Baitul Maqdis.



3. BAHAGIAN KETIGA

Perlaksanaan ibadat solat selepas kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. terbahagi kepada 2 peringkat. Yang pertama adalah sebelum Israk dan yang kedua selepas berlakunya Israk.

SOLAT SEBELUM PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Selepas Baginda diutuskan menjadi Rasul, tugas Beliau adalah menumpukan kepada memperbetulkan aqidah, konsep, pandangan hidup serta keimanan kepada Allah s.w.t. Yang Maha Esa dan meninggalkan pemujaan berhala. Disamping itu, Rasulullah dan sahabat juga melaksanakan amalan-amalan praktikal bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. seperti ibadat solat.

Para ulama' telah mempastikan bahwa ibadat solat yg dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya sebelum peristiwa Israk adalah solat di waktu malam (Qiyam al-Lail) Solat dalam bentuk ini telah difardhukan ke atas Baginda dan sahabat selama setahun. Baginda dan para sahabat melaksanakan solat tersebut dalam bilangan waktu dan rakaat yang tidak ditetapkan.

Sesetengah pendapat yang lain pula mengatakan bahwa Rasulullah dan sahabatnya mengerjakan solat 2 kali dalam sehari, iaitu solat Fajar (Subuh) 2 rakaat dan solat petang (Asar) 2 rakaat. Berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi.”

Menurut Abu Abdullah b Muhammad Al-Qurtubi, maksud ayat di atas ialah solat fajar dan solat Asar. Malah 2 rakaat Fajar dan 2 rakaat Asar dikerjakan di Mekah sebelum difardhukan solat lima waktu. Persoalannya adakah solat pagi dan petang itu difardhukan sebelum peristiwa Israk Mikraj.

Imam Asy-Syafi’i menjelaskan dengan katanya : “ Aku telah mendengar mereka yang aku percayai berkata, “Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memfardhukan solat, kemudian Allah menasakhkannya dengan memfardhukan solat lima waktu.”

Menghurai penjelasan di atas, Imam Asy-Syafi’I menyebut dengan katanya, “Seolah-olah maksud firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Muzammil ayat 1 – 3 yang bermaksud :

Wahai orang-orang yang berselimut!, Bangunlah dimalam hari, kecuali sedikit sahaja atau separuh malam atau sedikit dari separuh malam.”

Ayat ini kemudian dimansuhkan oleh ayat diakhir surah Al-Muzammil ayat 20 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengetahui bahwa kamu berdiri (solat) kurang dari dua pertiga malam atau seperdua malam atau sepertiga malam atau sedikit dari separuh malam” sehinggalah kepada ayat yang bermaksud “Bacalah apa yang mudah bagi kamu dari Al-Quran”.

Imad Ad-Din Abu Al-Fida Ismail Ibnu Kathir menerangkan : “Solat yang difardhukan sebelum peristiwa Israk adalah sebanyak 2 kali, solat sebelum naik matahari dan solat diwaktu matahari jatuh dalam waktu Asar. Solat malam juga difardhukan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya selama setahun. Kemudian Allah s.w.t. menasakhkan semuanya di malam Israk dan digantikan dengan solat lima waktu, tetapi diantara solat lima waktu itu, solat fardhu subuh dan Asar, yang mana solat subuh didirikan sebelum mahari naik dan solat Asar didirikan sebelum matahari terbenam”.

Walau bagaimanapun, tiada pendapat yang sharih mengenai kefardhuan solat berkenaan. Beberapa ayat dari Al-Quran ada menyentuh perkara tersebut namun tidak menyatakan secara jelas bahawa solat-solat itu difardhukan. Contohnya didalam surah Qaf ayat 39 dan surah Al-Imran ayat 41 yang memerintahkan supaya Rasulullah s.a.w. bertasbih pagi dan petang, tidak menunjukkan solat pagi dan petang itu difardhukan.

Mmenurut sesetengah pengkaji bahawa perkataan bertasbih itu boleh dikategorikan kepada dua iaitu yang pertama “Solat” dan yang kedua diertikan tasbih itu sendiri.

Kesimpulannya disini bahawa Rasulullah dan para sahabat telah melaksanakan dan mengerjakan solat sebelum peristiwa Israk dan Mikraj.

BENTUK SOLAT SELEPAS PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Semua dari kita mengetahui dan perlu tahu bila berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj dan dimalam itulah berlakunya ataupun difardhukan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya supaya melaksanakan perintah solat lima waktu.

Kemudian keesokkan harinya, ketika matahari gelincir, Allah s.w.t. mengutuskan Jibril supaya mengajarkan cara melakukan solat dan waktunya kepada Baginda. Ini berdasarkan hadis dari Abdullah b Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

Jibril mengimamkan aku (Muhammad) solat disisi Kaabah sebanyak 2 kali. Dia (Jibril) mendirikan solat Zohor bersamaku pada hari pertama semasa matahari gelincir. Dia mendirikan solat Asar bersamaku ketika baying sesuatu menyamainya. Dia mendirikan solat Maghrib bersamaku ketika orang berpuasa membuka puasanya. Dia mendirikan solat Isya’ bersamaku ketika syafaq ( mega merah) hilang. Dia mendirikan solat Subuh bersamaku ketika diharamkan makan dan minum kepada orang berpuasa. Kemudian pada hari keduanya pula, Dia (Jibril) mendirkan solat Zohor bersama aku ketika bayang sesuatu objek menyamai objek asalnya. Dia mengerjakan solat Asar bersamaku ketika bayang sesuatu objek dua kali ganda besarnya dari objek asal. Dia mendirikan solat Maghrib bersamaku semasa orang berbuka puasa. Dia mendirikan solat Isya’ bersamaku ketika malam berlalu satu pertiga. Dia mendirikan Subuh ketika bumi sudah cerah. Kemudian (Jibril) berpaling kepada aku sambil berkata “Wahai Muhammad! Waktu solat di antara kedua-dua waktu ini. Waktu ini juga merupakan waktu solat para nabi terdahulu”.

 Berdasarkan hadis di atas, dapatlah disimpulkan bahawa waktu solat, bentuk dan caranya bukanlah direka oleh Nabi Muhammad s.a.w. Allah s.w.t. telah berfirman :

“ Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya tiada yang lain hanya wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (surah Al-Najm ayat 3 – 4)

Dalam masalah ini, bilangan rakaat solat lima waktu yang difardhukan menjadi perselisihan di kalangan fuqaha, pengkaji dan penyelidik. Misalnya, al-Sya’bi, Hassan al-Basri, Maimum b Muhran dan Muhammad b Ishaq berpendapat bilangan rakkat solat lima waktu semasa difardhukan adalah dua rakaat. Kemudian selepas Baginda berhijrah ke Madinah barulah ditambah menjadi empat bagi solat Zohor, Asar dan Isyak, dalam solat bermukim atau hadr, dan dikekalkan rakaat bagi solat subuh dan solat ketika dalam musafir. Manakala Maghrib ditambah satu rakaat menjadi 3 rakaat.

Namun demikian, Abdullah b Abbas, Nafi’ b Jubair dan menurut riwayat lain dari Hassan al-Basri berpendapat bahawa bilangan rakaat bagi solat empat rakaat di dalam solat hadr dan dua rakaat dalam solat musafir adalah difardhukan semasa peristiwa Israk dan Mikraj. Walau bagaimanapun pendapat yang mengatakan bilangan rakaat bagi semua solat fadhu adalah dua rakaat selepas peristiwa Israk dan Mikraj dan berubah selepas Rasulullah berhijrah ke Madinah iaitu empat rakaat bagi Zohor, Asar dan Isyak manakala dikekalkan bagi solat Subuh dan ditambah 1 rakaat bagi solat Maghrib menjadi tiga rakaat adalah lebih kuat. Pendapat ini disokong oleh hadis riwayat Aisyah yang bermaksud :

“Solat difardhukan, samada ketika bermukim sebanyak dua rakaat, dua rakaat, kemudian selepas Baginda berhijrah ke Madinah dan menetap disana, ditambah pada solat hadr sebanyak dua rakaat, dua rakaat dan dikekalkan pada solat fajar dua rakaat kerana bacaan di dalam solat fajar ini panjang. Begitu juga dengan solat maghrib kerana ia solat witir di siang hari.”


SYARAT-SYARAT SOLAT

Syarat dalam sembahyang terbahagi kepada dua iaitu syarat taklif atau dikenali sebagai syarat wajib dan syarat sah atau tunai.

* SYARAT WAJIB SOLAT

Syarat wajib ialah sesuatu yang bergantung kepadanya ketentuan wajib atau tidaknya sembahyang ke atas seseorang.

Syarat-syarat wajib dalam sembahyang adalah seperti berikut:

1. Beragama Islam.

2. Baligh.

3. Berakal.

4. Suci daripada haidh dan nifas.

5. Selamat salah satu anggota deria sama ada pendengaran atau penglihatan. Sembahyang tidak wajib ke atas orang yang dilahirkan buta dan pekak.

6. Sampai seruan agama Islam. Sembahyang tidak wajib kepada mereka yang tinggal terpencil dan tidak pernah berjumpa dengan pendakwah Islam.


* SYARAT SAH SOLAT

Syarat sah sembahyang adalah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu sembahyang atau dengan kata lain kesahihan sesuatu sembahyang bergantung kepadanya.

Syarat-syarat sah sebahyang adalah seperti berikut:

1. Suci daripada hadath kecil dan besar.

2. Suci tempat, pakaian dan tubuh badan daripada sebarang najis yang tidak dimaafkan.

3. Mengetahui tentang masuknya waktu sembahyang sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya.

4. Menutup aurat.

5. Menghadap ke arah kiblat (Kabah).


RUKUN SOLAT





 RAHSIA RUKUN SOLAT


 

HIKMAH MENDIRIKAN SOLAT

-  Solat Kekuatan Agama

- Amalan Pertama Dihisab Pada Hari Kiamat

- Solat Membina Jati Diri

- Solat mendisplinkan Umat

- Solat Mendidik Umat Menepati Masa( Solat tepat pada waktu )

- Solat Menggalakkan Rasa Cintakan Ilmu

- Solat Penghapus Dosa

- Solat Menjadi Cahaya di Dunia dan di Akhirat serta Diselamatkan dari Neraka

- Solat Meninggikan Kedudukan dan Menghapuskan Kesalahan

- Solat Yang Sempurna Adalah Kaffarah Dosa

- Ganjaran Orang Yang Pergi Ke Masjid Untuk Solat Fardhu sama Dengan Pahala Orang Menunaikan Haji

- Solat Penawar Stress dan Tekanan Perasaan

PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT

- Hadas kecil dan besar

- Bercakap yang disengajakan walaupun sedikit

- Makan dan minum

- Gerakan sebanyak 3x dan ke atas secara berturut-turut,dan gerakan tersebut bukan daripada perbuatan solat ( anggota besar )

- Ketawa dengan kuat

- Murtad

- Gila

- Berpaling dari kiblat

- Membiarkan aurat terbuka

- Menjadi makmum kepada imam yang tidak sah solatnya,seperti orang kafir

- Mendahului atau tertinggal dua rukun fi'li daripada imam dengan sengaja

- Mengulangi takbiratulihram untuk kali yang kedua dengan niat iftitah

- Jika mendapat pakaian yang menutup aurat,bagi orang yang bersolat tanpa menutup aurat kerana tiada pakaian

- Was was dengan rukun solat,syarat solat atau kaifiat solat,sama ada dilakukan atau tidak

- Berubah niat kepada solat yang lain

- Niat keluar atau menamatkan solat sebelum menyempurnakannya

- Berazam untuk menghentikan solat

- Berbelah bagi sama ada hendak menghentikan solat atau tidak 

- Meninggalkan rukun solat dengan sengaja termasuk bacaan

- Mengulangi rukun fi'li dengan sengaja

- Mendahului rukun-rukun solat

- Terbuka khuf ( sarung kaki kulit ) hingga menampakkan kaki bagi orang yang berwudhuk dengan menyapu khuf

- Waktu yang mengharuskan orang yang memakai khuf menyapunya ketika wudhuk telah tamat

- Sengaja memanjangkan rukun yang pendek,seperti berada dalam keadaan iktidal dalam masa yang sama lamanya dengan masa yang diambil untuk membaca Al-Fatihah

- Sengaja memberi salam sebelum sempurna solat

- Kembali duduk selepas bangun berdiri daripada tasyahud awal dalam keadaan mengetahui tegahan melakukannya,kerana ia menambah rukun duduk.

Sumber Rujukan dari :



Tiada ulasan: