Rabu, 30 Januari 2013

Penawar jiwa : BERDOALAH,DIWAKTU LAPANG

Assalamualaikum..buat hati-hati yang sering mencintai Allah,cintailah Allah dengan sesungguh-sungguhnya.Mudahkan segala segala urusan hidup dengan berlandaskan rasa cinta dan sayang kepadaNya.Nukilan hari ini dititipkan buat pembaca yang budiman dan semoga apa yang bermanfaat diambil dengan sebaiknya dan sekiranya ianya kurang,harap dapat bersama-sama diperbetulkan.

Sesungguhnya doa itu otak kepada ibadah.Allah SWT  tidak pernah menutup pintu untu kita berdoa,selagi mana nyawa masih di kandung badan.Orang yang selalu berdoa adalah orang yang mendapat rahmat.Ia mengerti,tanda berdoa ialah berharap.Orang yang berharap ialah orang yang tidak memiliki apa-apa,lalu ia berharap kepada Yang Maha Memiliki dan Maha Pemberi.Ikutilah sunnah nabi Ibrahim as,meskipun baginda tidak mempunyai anak,namun baginda sentiasa berdoa agar mendapat keturunan yang menegakkan solat.

Selama 40 tahun Nabi Musa as mendoakan kejatuhan Firaun laknatullah ,barulah Allah SWT mengabulkannya.Namun baginda tidak pernah berputus asa.Nabi Yaakob as sentiasa berdoa agar bertemu semula dengan anaknya Nabi Yusuf as lalu diperkenankan Allah SWT.Nabi Ayub as menderita sakit beberapa tahun,lalu Allah SWT menyembuhkan baginda.Isteri Imran dan Nabi Zakria as teringin untuk mendapatkan seorang anak bagi meneruskan legasi dakwah mereka,Allah SWT mengurniakan mereka Maryam dan Nabi Yahya as.

Sebahagian ulama memberikan fatwa " Jika kamu ingin berdoa,berdoalah pada hari ini juga,boleh jadi doa kamu akan dimakbulkan Allah SWT".Sebahagian ulama yang lain pula berkata " Doa itu adalah lidah kerinduan kepada kekasih"

Berdoalah,kerana Abu Hazil al-Aradi pernah berkata :

' Sungguh,terhalang daripada berdoa lebih sukar daripada doa yang tidak diperkenankan'

Berdoalah duhai sahabat sebagaimana doa Nabi Ibrahim as,baginda kaya dengan doa.Berdoalah agar mendapat hikmah,kerana tanda bahagianya Luqman Al-Hakim terletak kepada hikmah kebijaksanaan.Sesungguhnya Allah SWT mengurniakan hikmah kepada Nabi Yusuf as,Musa as,Lut as dan Sulaiman as bahkan kesemua para anbiya termasuk Rasulullah SAW lalu dengan hikmah mereka memimpin dengan penuh peradaban dan ilmu serta keimanan kepada Allah SWT.

Berdoalah kerana doa itu adalah senjata bagi orang-orang mukmin dan hadiah istimewa bagi orang yang beriman dan mengakui keesaan Allah SWT serta kerasulan baginda SAW.


Tiada ulasan: