Bekerja untuk mencari rezeki yang halal memang memenatkan. Malah ia
mampu memberikan tekanan kepada sesiapa sahaja. Apatah lagi jika kerja
yang anda lakukan berhadapan dengan 'deadline' dan tarikhnya pula
semakin hampir.
Ada juga sesetengah kerja yang memaksa seseorang
itu berhadapan dengan orang ramai yang mempunyai pelbagai ragam dan
karenah. Jika tidak dituruti karenah tersebut, mungkin anda akan
terlepas peluang menarik. Jadi mahu atau tidak, anda terpaksa
merelakannya walaupun di dalam hati hanya Tuhan yang tahu betapa
tertekannya anda.
Untuk itu, di sini diperturunkan lima cara
mudah untuk anda mengurangkan tekanan di tempat kerja. Anda tidak
memerlukan masa yang panjang untuk melakukannya, namun ia mampu
memberikan anda kesegaran dan tenaga baru untuk menghadapi hari yang
panjang.
1. Cuci muka
Terlalu lama duduk menghadap komputer
memang memenatkan. Apa kata anda bangun sebentar dan pergi ke tandas
untuk mencuci muka. Kesejukan air itu sudah pasti mampu memberikan anda
kesegaran baru. Jika anda bernasib baik, mungkin anda akan mendapat
beberapa ilham baru yang pastinya akan menguntumkan senyuman di bibir
anda.
2. Membaca kisah lucu
Kisah-kisah lucu yang banyak
dikirimkan oleh rakan-rakan melalui emel mungkin boleh digunakan ketika
ini. Dengan membaca beberapa kisah lucu yang pendek, ia mampu membuatkan
anda ketawa sendirian, sekaligus menjauhkan anda daripada tekanan kerja
yang membelenggu anda. Selepas melepaskan tekanan melalui ketawa, anda
kini lebih bersedia untuk menyambung pekerjaan yang sedang diusahakan.
3. Berbual dengan rakan
Di
pejabat sudah pasti anda mempunyai ramai kawan. Untuk melepaskan
tekanan, anda tidak semestinya perlu berbual dengan rakan rapat sahaja.
Adakalanya rakan-rakan baru juga boleh menjadi tempat anda meluahkan
rasa sekaligus mengurangkan tekanan yang anda tanggungi. Mungkin dengan
perkenalan baru itu anda dapat menambahkan kawan serta peluang untuk
bertukar-tukar fikiran dengan orang lain yang mempunyai latar belakang
berbeza. Tetapi janganlah keterlaluan kerana orang lain juga pastinya
mempunyai kerja yang mereka harus siapkan juga.
4. Ke kafetaria
Setelah
seharian penat bekerja dan mengerah otak, tidak salah jika anda
meluangkan sedikit masa untuk ke pantri atau kafetaria. Belilah sedikit
makanan untuk mengisi perut anda yang berkeroncong. Rasa lapar yang
ditanggung bukan membantu sebaliknya boleh menambahkan lagi tekanan yang
dialami. Apabila sudah kenyang, anda pasti lebih selesa untuk
meneruskan kerja yang terbengkalai sebentar tadi.
5. Berjalan seketika
Jika
tekanan yang anda tanggung masih belum berkurangan, apa kata anda
bangun sebentar dan berjalanlah di sekitar pejabat anda. Ambil masa
beberapa minit untuk anda mencari ketenangan dan kekuatan untuk
menyelesaikan segala tugasan yang diberikan. Dengan berjalan dan
meninjau persekitaran tempat anda bekerja, ia mungkin boleh memberikan
anda idea untuk bekerja dengan lebih berkesan. Jika anda bertuah, anda
mungkin akan bertemu dengan seseorang yang mampu membantu anda. Apa yang
penting anda tidak malu untuk bertanya dan mudah bekerjasama dengan
sesiapa sahaja.
p/s : Cuba amalkan,semoga success dalam mengendalikan stress dalam kehidupan seharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan